Thursday 2 June 2011

Malam tadi aku bermimpi..

Malam tadi aku bermimpi. Sudah lama mimpi tidak menjejakkan diri di mindaku. Mimpiku kali ini agak istimewa kerana ia berlainan dari mimpi-mimpiku sebelum ini. Ini antara alasan untukku berkongsi dengan sesiapa saja yang sudi membaca. Aku bermimpi tentang perubahan musim di dalam dunia ini.
Perjalananku bermula sewaktu musim sejuk hampir berada di penghujungnya. Astagfirullah al-azim.Semuanya putih. Lebih putih dari biasa. Aku berjalan tanpa memikirkan arah tujuku. Penat! Aku tak pernah rasa penat terutama di alam mimpi. Tiba-tiba cahaya matahari mulai terik sehingga mencairkan seluruh salji yang ada. Pohon-pohon menghijau di bawah sinarannya. Aku kagum melihat perubahan ini. Dalam sekelip mata, aku dikelilingi dengan flora dan fauna yang mendamaikan.
Sewaktu aku leka menikmati keindahan ini, musim berubah lagi. Subhanallah. Cantiknya! Bunga-bunga pelbagai warna kembang mekar bak taman syurgawi. Mataku dihidangkan dengan permainan warna yang mengasyikkan dan aku mahu terus menikmatinya.
Namun, harapanku musnah apabila musim mulai berubah. Tiada lagi bunga yang mekar. Semuanya luruh. Pohon-pohon tidak lagi menghijau. Daun-daun kering melitupi seluruh kawasan seluas lautan sejauh mata memandang. Hatiku sayu. Tatkala aku menanti musim baru menjelang tiba, aku tersedar dari tidur oleh sinaran matahari yang terik di pagi Jumaat. Alhamdulillah.

Saddiq Raffali,
Bukit Antarabangsa,
3 Jun 2011,
12 tngh/hari